KOM ‘malu besar’ di Kemboja

PHNOM PENH 09 MEI 2023. Atlet olahraga lelaki negara Umar Osman memenangi 400m dan memacah rekod kebangsaan di Stadium Morodok Techo. NSTP/FATHIL ASRI.

KUALA LUMPUR: Ramai pakar berpendapat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang sombong akan diaibkan pada temasya Sukan SEA Kemboja dan ternyata ia benar.

Ketika KOM menyasarkan 10 pingat emas, sasaran itu dianggap tidak realistik serta tidak mampu dicapai dan seperti jangkaan KOM gagal menepati sasaran itu.

Malaysia membariskan 65 atlet namun hanya memenangi lima pingat emas, tiga pingat perak dan 11 pingat gangsa dan pada edisi di Hanoi, Malaysia membawa pulang lima pingat emas, tiga pingat perak dan lapan pingat gangsa.

Jadi kita hanya menambah tiga pingat gangsa dan pegawai KOM tidak seharusnya memuji diri sendiri dan mengatakan ia pencapaian yang bagus.

KOM nampaknya tidak membuat kajian sebelum menetapkan sasaran di mana mereka seakan tidak tahu bagaimana pencapaian atlet Malaysia berbanding seteru lain di Asia Tenggara.

Adakah KOM boleh mengambil kredit susulan kemenangan Shereen Samson Vallabouy dalam acara 400 meter (m) individu wanita di Phnom Penh?

Sudah tentu tidak kerana kejayaan Shereen adalah usaha ibu bapanya – bekas atlet kebangsaan Samson Vallabouy dan Josephine Mary – yang menghantar anaknya ke Amerika Syarikat untuk belajar dan berlatih.

Mereka tahu Shereen tidak akan bertambah baik jika kekal dan berlatih di sini.

Selain Shereen, atlet lain yang menyelamatkan KOM ialah atlet muda, Umar Osman apabila dia mencuri tumpuan dengan meleburkan rekod 22 tahun dalam acara 400m dan tiga lagi emas dimenangi Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Andre Anura Anwar (lompat kijang) dan Grace Wong (lontar tukul besi).

Pegawai KOM juga sentiasa ‘mengugut’ atlet di mana mereka tidak akan mendapat elaun bulanan jika tidak berlatih dengan jurulatih yang disediakan kesatuan itu.

Jadi, atlet tidak ada pilihan untuk menjalani latihan di bawah bimbingan sesiapa khususnya apabila jurulatih yang mampu membuatkan mereka menjadi bertambah baik.

Apa yang berlaku dengan program pembangunan KOM? Apa yang dilakukan barisan kejurulatihan dan pengerusi jawatankuasa pemilihan, Datuk Wira Mark Ling?

Malaysia akan menjadi tuan rumah pada Sukan SEA 2027 dan jika tiada usaha yang dilakukan, satu lagi kegagalan bakal disaksikan bagi acara trek dan padang.

Bekas jurulatih kebangsaan, R Jaganathan mengakui sedih dengan keputusan yang tidak memberangsangkan di Kemboja.

“Kenapa (KOM) tidak lakukan sesuatu untuk meningkatkan standard atlet kita walaupun ada semua fasiliti yang diperlukan?

“Atlet perlu bertanding dalam enam hingga ke lapan pertandingan sebelum dihantar bertanding ke luar negara. Namun atlet kita hanya bertanding sebanyak dua kali dan kemudiannya ke Sukan SEA.

“Kita pernah mendominasi acara jarak sederhana dan jauh dalam Sukan SEA sehingga membuatkan atlet lawan kita gentar.

“Kita ada atlet berkaliber seperti M Ramachandran yang memenangi acara 5,000m dan 10000m dalam empat edisi berturut turut.

“Sekarang semuanya hanya tinggal sejarah.”

Kini sudah tiba masanya untuk Menteri Belia dan Sukan mengadakan pertemuan dengan pegawai KOM bagi memastikan atlet kembali ke landasan sebenar sebelum keadaan olahraga negara bertambah parah.