Azeem tempat ketujuh di Louisiana

KUALA LUMPUR: Pelari pecut berpangkalan di Amerika Syarikat, Muhammad Azeem Fahmi menamatkan acara final 100 meter (m) Kejuaraan Trek dan Padang SEC di Louisiana di tempat ketujuh sebentar tadi.

Atlet Auburn State University itu, yang juga pemegang rekod kebangsaan menerusi catatan 10.09 saat (s), menamatkan saingan dengan catatan 10.25 saat.

Seorang lagi penuntut Auburn, Favour Ash menduduki tempat kedua dengan catatan 10.08s.

Acara final 100m lelaki itu dimenangi oleh pelari Louisiana State University (LSU), Godson Oghenebrume yang mencatat 10.04s, manakala rakan sepasukannya, Dorian Camel di tempat ketiga dengan catatan 10.19s.

Pada peringkat saringan, Ashe melayakkan diri ke final dengan muncul pelari terpantas menerusi catatan 10.06s, manakala Azeem dengan catatan 10.11s.

Sebelum ini, Azeem melakar 10.14s untuk menamatkan saingan di tempat ketiga pada Perlumbaan East Coast di Florida, bulan lalu.

Pada Mac, Azeem mencatat 10.32s pada Kejuaraan Perlumbaan Florida State University (FSU).

Sasaran utama Azeem pada tahun ini adalah untuk melakukan catatan 10.00s untuk melayakkan diri ke Kejuaraan Dunia di Budapest, Hungary, Ogos nanti.