Jangan bandingkan saya dengan Azeem – Haiqal

Oleh Syazwan Msar – Mei 13, 2023 @ 1:37pm

[email protected]

PHNOM PENH: Pelari pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi berharap peminat sukan tanah air tidak membandingkan prestasinya dengan atlet olahraga lain terutamanya membabitkan pesaing terdekatnya, Muhammad Azeem Fahmi.

Haiqal berkata, dia bukanlah gentar atau mengaku kalah untuk bersaing dengan pelari pecut lain namun perlu mengetahui setiap atlet memiliki kelebihan masing-masing sekali gus tidak wajar membuat perbandingan.

“Setiap manusia ada kelebihan masing-masing..Muhammad Azeem sememangnya ada bakat tersendiri dan kami juga ada prestasi tersendiri,” kata Haiqal yang juga bekas pemenang pingat emas 100 meter (m) edisi 2019 di Filipina.

Nama Muhammad Azeem yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dianggap sebagai permata baharu olahraga selepas memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Colombia, tahun lepas.

Sementara itu, Khairul Hafiz Jantan mengakui agak gembira apabila kejayaan kembali mewakili kem kebangsaan akhirnya terbalas walaupun gagal berada dalam kedudukan podium pada temasya kali ini.

“Bukan mudah untuk saya kembali ke lapangan trek olahraga selepas dibelenggu kecederaan yang panjang sebelum ini. Saya berpuas hati dengan prestasi semasa dan harap dapat teruskan momentum pada kejohanan akan datang.

Pada aksi final di Stadium Nasional, Morodok Techo semalam, Haiqal merangkul gangsa dengan 10.443s bagi mengetepikan rakan senegara, Khairul Hafiz Jantan yang terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat selepas mencatat masa 10.448s.

Pelari Thailand, Soraoat Dapbang dinobatkan sebagai raja pecut baharu Asia Tenggara dengan catatan 10.37s dan hanya dibezakan dengan 0.02s untuk mengatasi Marc Brian Louis dari Singapura, yang merekodkan 10.39s bagi pingat perak.