
BHUBANESWAR: Buat pertama kali, acara pecut 100m dan 200m menjadi tumpuan utama di India apabila Kejohanan Jelajah Benua World Athletics Tahap Gangsa berlangsung di Stadium Kalinga.
Bintang pecut India, Animesh Kujur – pemegang rekod kebangsaan 100m dan 200m – mengetuai barisan pelari termasuk Gurindervir Singh, Manikanta dan Amlan Borgohain. Turut mencuri perhatian ialah jaguh pecut Malaysia, Muhammad Azeem Fahmi, pemegang rekod kebangsaan 10.09s dan catatan peribadi 10.01s (bantuan angin), yang akan bersaing sengit dengan Amlan di trek kegemarannya.
Kejohanan ini bukan sahaja bersejarah sebagai penganjuran pertama di India, malah menawarkan mata ranking penting untuk kelayakan Kejohanan Dunia, termasuk buat atlet lompat kijang Abdulla Aboobacker, jaguh lompat jauh Sreeshankar Murali, dan ratu lontar lembing Annu Rani.
Seperti biasa, acara lontar lembing menjadi medan paling kompetitif, dengan kehadiran bintang Sri Lanka, Sumedha Ranasinghe dan Rumesh Pathirage, bersama barisan terbaik India seperti Yashvir Singh dan Sachin Yadav.
Penganjuran berjaya acara ini diharap membuka peluang India menjadi tuan rumah kejohanan bertaraf lebih tinggi seperti Tahap Perak, Emas atau bahkan Liga Berlian pada masa depan.