Oleh Faizal Salim | 19 Julai 2025 – 6:53 petang

PETALING JAYA: Pelari menara negara, Soh Wai Ching, sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya memecahkan Rekod Dunia Guinness dalam cabaran ekstrem mendaki mesin tangga selama satu jam yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah hari ini.
Wai Ching mencatat jarak mendaki paling jauh secara simulasi iaitu 1.78km dalam masa satu jam, sekaligus memadam rekod terdahulu 1.74km milik David Mahoney dari Britain yang dibuat pada bulan Mei lalu.
Dalam aksi yang menuntut daya tahan fizikal dan kekuatan mental luar biasa, Wai Ching melengkapkan cabaran itu tanpa memegang palang tangan mesin.
“Saya tidak pegang palang. Itu prinsip saya. Walaupun dibenarkan, tapi bagi saya ia seperti menipu,” katanya.
Atlet berusia 30-an itu turut menerima empat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records atas pencapaian luar biasanya hari ini. Antara kejayaan dicatat:
- Mendaki setinggi Menara Berkembar Petronas (451.9m) dalam masa 14 minit 46 saat
- “Berlari secara maya” merentasi Merdeka 118 (680.5m) dalam 22 minit 18 saat
- Melengkapkan pendakian menegak 1 kilometer (vertical kilometre) dalam 33 minit 11 saat
Bagi Wai Ching, cabaran kali ini lebih daripada sekadar perlumbaan – ia adalah ujian peribadi.
“Selepas jadi juara dunia, saya hilang arah. Hilang semangat nak kejar kehebatan.
Saya pernah terfikir — mungkin saya patut bersara. Tapi cubaan rekod dunia ini tentang mencabar had manusia. Saya nak lihat sejauh mana saya boleh pergi.”
Detik paling sukar hadir apabila beliau mengalami kekejangan otot yang teruk lapan minit sebelum tamat.
“Saya memang jerit banyak kali, rasa nak berhenti. Tapi saya paksa diri teruskan. Percaya saya boleh buat, dan terus tolak had diri.”
Cabaran seterusnya buat Wai Ching ialah:
- Kuantan 188 Towerton di Menara Kuantan (Sabtu ini)
- Merdeka 118 Sky Race
- Kejohanan Asia Oceania pada bulan Ogos
“Matlamat utama saya adalah untuk pertahan maruah tanah air – jangan bagi orang luar menang, sebab ini di Malaysia,” ujarnya penuh semangat.
Pada masa yang sama, rakan pelari menara Valerie Sarah Ong turut mencatat kejayaan membanggakan apabila mencipta rekod kebangsaan baharu dalam kategori wanita untuk Pendakian Menegak Terpanjang (1.33km) dalam masa satu jam menggunakan mesin tangga.
“Bahagian paling sukar ialah cabaran mental,” kata Valerie.
“Badan masih boleh bergerak, tapi fikiran asyik suruh berhenti. Ia perlukan kekuatan mental dan banyak ‘self-talk’ untuk terus bertahan.”
Malaysia terus melakar nama di pentas dunia dalam sukan unik ini – dengan semangat, ketekunan dan kekuatan luar biasa. 🇲🇾💪🏃♂️🏃♀️