Irfan puji tindakan berani KOM | Harian Metro

Phnom Penh: Atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin memuji tindakan berani Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang menghantar majoriti atlet muda di temasya Sukan Sea 2023 yang sedang berlangsung di Kemboja ketika ini.

Irfan yang memenangi pingat emas di Kemboja menjelaskan perkara itu sepatutnya sudah lama dilakukan untuk memastikan ramai atlet muda mendapat pendedahan terbaik di peringkat antarabangsa.

Malah, dia berkata atlet muda juga memiliki keupayaan mencipta kejutan seperti yang dilakukan Umar Osman apabila memenangi emas acara 400 meter individu.

“Apa yang persatuan buat bawa semua atlet junior untuk pendedahan ini adalah satu perkara yang saya sudah lama saya harapkan. Jadi apa yang mereka buat itu saya gembira sebenarnya.

“Saya ingat lagi pada 2013 saya kena merayu nak ke Sukan Sea. Saya kena naik turun sebab masa itu saya ranking keenam, mereka tak nak bawa saya.

“Jadi, saya harap benda ini berterusan dan harap sesuatu yang baik akan hadir dalam Sukan Sea yang seterusnya dan dekat sini pun ada atlet muda yang pecah rekod 400 meter,” katanya.

Umar menjadi contoh buat atlet muda yang lain apabila mencipta sensasi memenangi pingat emas acara 400m lelaki di Sukan Sea Kemboja selepas mengungguli aksi final dengan catatan 46.34s.

Catatan itu menyaksikan juara Sukan Malaysia (Sukma) 2022 itu memperbaharui rekod kebangsaan berusia 22 tahun milik Mohd Zaiful Zainal Abidin dengan catatan 46.41s yang dilakukan ketika Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Brunei pada 2001.

Source: Irfan puji tindakan berani KOM | Harian Metro